Logo

PENDAFTARAN PROGRAM SAMBUNG BELAJAR SPRM BERSAMA ELMU


09-10-2024


9 OKTOBER, KUALA LUMPURI - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mencatatkan satu lagi sejarah baru dari aspek peningkatan taraf akademik pegawai SPRM apabila telah berjaya mendaftarkan pegawai-pegawai SPRM sebagai pelajar di Enforcement, Leadership and Management University (ELMU), Nilai, Negeri Sembilan pada 6 Oktober 2024.

Para pelajar terdiri daripada 15 pegawai SPRM yang mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana (Master) dan 6 pegawai SPRM yang mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda (Bachelor) secara separuh masa di kampus ELMU yang terletak di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.

Pelaksanaan pengajian berkredit oleh Akademik Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) sejak tahun 2017 juga telah menunjukkan keberkesanannya apabila MACA sebagai sebuah Institut Latihan Awam (ILA) memiliki dua pengajian berkredit dan telah berjaya mendapat kesetaraan yang membolehkan alumni pengajian berkredit MACA membuat pemindahan kredit dengan pihak ELMU di peringkat Bachelor.

ELMU menjadi universiti pertama di Malaysia dan di seluruh rantau Asia yang menyediakan pendidikan dan penyelidikan melalui pembelajaran akademik dan pengalaman dengan penglibatan kolaboratif di antara universiti-kerajaan-industri dalam penguatkuasaan undang-undang dalam usaha untuk membentuk profesional dan pemimpin masa depan merentasi spektrum penguatkuasaan undang-undang, kepimpinan dan pengurusan.

Pengajian yang diikuti oleh pegawai SPRM adalah:

a. Master in International Law Enforcement

b. Master in Criminology and Criminal Justice

c. Master of Science in Intelligence and Surveillance

d. Bachelor in International Law Enforcement

e. Bachelor in Disaster and Emergency Management

Kepimpinan tertinggi SPRM telah sedaya upaya menyokong pembangunan kompetensi warganya dalam membentuk pengetahuan serta kemahiran khusus bagi mendepani cabaran masa hadapan ancaman rasuah kepada negara lebih komprehensif yang akan meningkatkan reputasi negara di peringkat antarabangsa dalam menangani kes rasuah dengan lebih holistik, membawa kepada pengurangan ketidakadilan dan peningkatan kualiti hidup rakyat.

Hal ini akan menjadikan SPRM sebuah badan penguatkuasa antirasuah yang berwibawa dan diiktiraf di peringkat antarabangsa serta meningkatkan prestij Malaysia dalam forum-forum global tentang tadbir urus dan penguatkuasaan undang-undang.

Dengan keseimbangan dari aspek pengalaman kerja pegawai dan pengetahuan secara ilmiah maka pegawai-pegawai SPRM berupaya menjalankan tugas mereka dengan lebih efektif, meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan dan memperkukuhkan imej negara di peringkat antarabangsa.