MACA PERKUKUH HUBUNGAN STRATEGIK, ANJUR PROGRAM JALINAN MESRA KEPIMPINAN
17-12-2024
Putrajaya, 16 Disember – Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) telah menganjurkan Program Jalinan Mesra Kepimpinan (Menembak) bertempat di Lapang Sasar SHAPADU, Putrajaya.
Program ini telah disertai oleh 40 peserta yang terdiri daripada wakil Institut Latihan Awam dan agensi rakan strategik dengan tujuan untuk memperkukuhkan hubungan dua hala di antara kedua-dua pihak. Antara agensi yang hadir ialah Pusat Pengajian Pertahanan Nasional, Institut Tadbiran Awam Malaysia, Petronas Leadership Center, Bahagian Pembangunan Jabatan Perdana Menteri, Bahagian Pengurusan Hartanah Jabatan Perdana Menteri, Maktab Penjara Malaysia, Akademi Kenegaraan Malaysia, Akademi Percukaian Malaysia, Akademi Imigresen Malaysia, Akademi Kastam DiRaja Malaysia Dan Maktab Polis DiRaja Malaysia.
Datuk TPj Saiful Ezral Arifin, Pengarah MACA, dalam ucapannya menyatakan bahawa program ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim, tetapi juga membuka ruang untuk bertukar-tukar pandangan serta memperkukuhkan semangat kerjasama, khususnya dalam kebersamaan memerangi gejala rasuah yang menjadi cabaran besar kepada pembangunan negara mutakhir ini.
"Saya menyeru agar kita semua memanfaatkan peluang ini untuk memperkukuhkan hubungan dan integrasi di antara agensi, di samping meningkatkan semangat kerja berpasukan", tambah beliau.
Di samping acara menembak, Pengarah MACA turut mengambil kesempatan untuk mengedarkan naskah PROSPEK MACA 2025 yang menggariskan pencapaian MACA sepanjang tahun 2024 serta hala tuju program latihan SPRM bagi tahun 2025. Naskah ini mencerminkan komitmen SPRM dalam memperkasakan integriti serta pembangunan kompetensi melalui program latihan bertaraf antarabangsa.
Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM, KPKPj Zuhairie Abu Bakar; Pengarah Bahagian Forensik Teknologi SPRM, KPKPj Wan Zulkifli Wan Jusoh; dan Pengarah SPRM Wilayah Putrajaya, KPKPj Azizul Ahmad Sarkawi.