Logo

MAJLIS KONVOKESYEN PEGAWAI INTEGRITI BERTAULIAH (CEIO) KALI KE-11


23-04-2025

CeIO DISERU KEKAL BERDISIPLIN DAN MENEGAKKAN INTEGRITI

Kuala Lumpur, 22 April – Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) diseru berkelakuan baik, berdisiplin dan menegakkan integriti dalam membina sistem tatakelola yang telus, beretika dan bebas rasuah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merangkap Pengerusi Lembaga Pengiktirafan Pegawai Integriti Bertauliah (LPPIB), Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, usaha membanteras rasuah melalui pendekatan pencegahan yang sistematik harus sentiasa menjadi penekanan.

Beliau berkata, peranan CeIO sangat signifikan dalam merealisasikan sasaran kerajaan untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok 25 negara teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia menjelang tahun 2033.

“CeIO berupaya mempengaruhi budaya kerja organisasi secara menyeluruh dan menyumbang kepada peningkatan integriti serta kepercayaan awam terhadap sistem penyampaian perkhidmatan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen CeIO ke-11 di Dewan Tun Dr Ismail, World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Selain itu, katanya United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) mengiktiraf usaha Malaysia mewujudkan Unit Integriti sebagai contoh amalan baik dalam meningkatkan integriti dalam agensi awam dan Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK).

Beliau berkata, program CeIO telah melahirkan seramai 2,851 pegawai sejak ia diperkenalkan pada tahun 2010 dan pada Majlis Konvokesyen CeIO ke-11 ini seramai 586 pegawai daripada sektor awam, SBK dan sektor swasta telah ditauliahkan.

Pada majlis itu, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Integriti & Ombudsman), Dato' Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya telah ditauliahkan sebagai pegawai integriti bertauliah kehormat.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato Indera Junipah Wandi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Program Pegawai Integriti Bertauliah (JTPPIB); Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Azmi Kamaruzaman; Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Dato’ Mohd Hafaz Nazar merangkap Ketua Urusetia LPPIB & JTPPIB; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong; ahli-ahli LPPIB, Pengarah-pengarah Kanan Bahagian, Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.


#SPRMMalaysia

#RasuahDihinaMaruahDibina

#taatsetia