Logo

ASIA E UNIVERSITY LANTIK KP SPRM SEBAGAI PROFESSOR OF PRACTICE


23-05-2025

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dianugerahkan Professor of Practice Asia e University (AeU) sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara SPRM dan AeU di Kampus AeU di sini, hari ini.

Penganugerahan ini yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah AeU, Profesor Emeritus, Tan Sri Dato’ Dr. Syed Jalaludin Syed Salim adalah pengiktirafan kepada Tan Sri Dato’ Sri Hj Azam Baki yang memiliki lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang integriti selain telah memacu SPRM untuk mencapai misi dan visinya melalui kepimpinan berintegriti serta komitmen terhadap keadilan.

Tan Sri Azam dalam ucapannya merakamkan setinggi penghargaan atas pengiktirafan yang diterima khususnya dan kepada SPRM amnya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) SPRM, Dato’ Mohd Hafaz Nazar dalam ucapannya berkata, penganugerahan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM sebagai Professor of Practice AeU dan pemeteraian MoU ini akan membuka ruang kepada kerjasama baharu dalam pencegahan rasuah.

“Tujuan kerjasama ini diadakan untuk melahirkan pegawai-pegawai SPRM berpendidikan tinggi melalui program Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL.Q) sekali gus memainkan peranan penting dalam sektor pendidikan dan pelaksanaan polisi antirasuah.

“Program APEL.Q merupakan program yang mengiktiraf pengalaman pegawai dalam kerjaya untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana Muda, Sarjana dan Kedoktoran dalam tempoh lebih singkat iaitu 12 hingga 18 bulan,” katanya.

Dalam majlis MoU tersebut, SPRM telah diwakili oleh Dato’ Mohd Hafaz manakala AeU diwakili Naib Canselornya, Profesor Dr Noor Raihan Ab Hamid dengan disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM serta Pengasas dan Presiden AeU, Profesor Dato’ Dr. Ansary Ahmed.

Profesor Dato’ Dr. Ansary dalam ucapannya berkata, kepimpinan Tan Sri Azam yang teguh, berpengalaman luas, berkomitmen tinggi dan usaha tanpa henti dalam meningkatkan integriti perkhidmatan awam menjadi panduan serta inspirasi kepada kakitangan dan pelajar-pelajar AeU.

“Kerjasama yang terjalin ini bukan sebagai simbolik semata-mata, ia dilaksanakan atas nilai-nilai etika kepimpinan, tadbir urus yang baik, berintegriti dan cemerlang dalam pendidikan,” katanya sambil menambah MoU ini dilaksanakan hasil kunjungan hormat universiti itu terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 24 September tahun lalu.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengelola AeU, Profesor Dato’ Dr Husaini Omar; Timbalan Presiden AeU, Profesor Dr Hairuddin Harun; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Azmi Kamaruzaman; Pengarah-pengarah Kanan, Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.

#SPRMMalaysia

#RasuahDihinaMaruahDibina

#taatsetia