PEGAWAI MARA CORPORATION TAMAT LATIHAN PROGRAM PEGAWAI INTEGRITI BERTAULIAH (CEIO)
11-07-2025
Kuala Lumpur, 11 Julai 2025 – Seramai 35 pegawai MARA Corporation Sdn Bhd dan anak syarikatnya berjaya menamatkan Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Siri 13 Bil. 2/2025 anjuran bersama Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan MARA Corporation di sini semalam.
Majlis penutup yang berlangsung di MEX Training Centre, Kuala Lumpur telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Pesuruhjaya Mohd Hafaz bin Nazar, Pengarah Kanan MACA. Dalam ucapannya, beliau mengiktiraf program CeIO sebagai inisiatif penting Kerajaan dalam memperkasa budaya integriti dalam sektor awam dan Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) serta syarikat sektor swasta.
Menurut beliau, program ini selaras dengan Arahan YAB Perdana Menteri Siri 1 No. 1 Tahun 2009 mengenai Pelaksanaan Program CeIO dan Arahan YAB PM Siri 1 No. 1 Tahun 2018 yang menekankan penubuhan Unit Integriti dan Governans (IGU) di SBK. YBhg. Dato’ Mohd Hafaz turut menegaskan kepentingan penempatan strategik pegawai CeIO di unit integriti agar ilmu dan kepakaran yang diperoleh dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Program yang berlangsung selama hampir sebulan itu memberi penekanan kepada modul tadbir urus, perundangan, pematuhan, pengurusan risiko rasuah (CRM) dan pembangunan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP).
MARA Corporation merupakan antara SBK yang melaksanakan Program CeIO secara in-house pada tahun ini. Ia menunjukkan komitmen tinggi organisasi dalam membudayakan nilai integriti secara menyeluruh.
Turut hadir dalam majlis Tuan Norhisham bin Nordin, Naib Presiden Kanan, Kumpulan Audit Dalaman Dan Integriti Mara Corp dan pegawai- pegawai Eksekutif Mara. Corp serta pegawai - pegawai Pusat Pembangunan Integriti Korporat (CIDC),MACA.