MACA TERIMA ANUGERAH KECEMERLANGAN PEMATUHAN KESELAMATAN PERLINDUNGAN TAHUN 2024
30-07-2025
Putrajaya, 29 Julai 2025 – Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) telah dianugerahkan Anugerah Kecemerlangan Pematuhan Keselamatan Perlindungan Tahun 2024 sempena Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tahun 2025 yang berlangsung di Auditorium SPRM, hari ini.
Anugerah ini merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada Bahagian dan Pejabat SPRM Negeri yang menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan pematuhan terhadap prosedur keselamatan perlindungan, selaras dengan kehendak Arahan Keselamatan (Semakan dan Pindaan 2017).
Pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada MACA untuk terus memperkukuh pematuhan terhadap aspek keselamatan perlindungan serta menyemai kesedaran dalam kalangan warganya mengenai pentingnya persekitaran kerja yang selamat, profesional dan berintegriti.
Program KKP ini dianjurkan oleh Bahagian Keselamatan SPRM sebagai sebagai manifestasi sokongan terhadap kehendak yang digariskan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) serta Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 2019 yang menekankan keperluan mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif, sihat dan selamat bagi penjawat awam.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesional) SPRM, YBhg. Dato' Indera Junipah Wandi. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa keselamatan di tempat kerja bukan hanya sekadar pematuhan terhadap peraturan sedia ada, malah merupakan tanggungjawab moral dan profesional setiap warga organisasi.
“Keselamatan bukan hanya tentang prosedur, tetapi juga tentang budaya. Kita perlu membudayakan sikap saling mengingatkan, saling menjaga dan saling menyokong antara satu sama lain,” tegas beliau.
Turut hadir Pengarah Bahagian Keselamatan, KPKPj Zuhairie bin Abu Bakar dan Pengarah-Pengarah Bahagian dan Negeri.
#MACAMACC
#SPRMMalaysia
#RasuahDihinaMaruahDibina