Logo

MACA DAN KHAZANAH MANTAPKAN SINERGI PENCEGAHAN RASUAH DI SEKTOR KORPORAT


17-09-2025

Kuala Lumpur, 10 September 2025 – Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) terus memperkukuh peranannya sebagai pusat rujukan utama dalam pembangunan modal insan berintegriti apabila menerima lawatan kerja daripada lima (5) orang delegasi Unit Pematuhan & Integriti, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah). Delegasi tersebut diketuai oleh Ketua Jabatan Risiko, Tadbir Urus & Pematuhan Khazanah, Puan Suhana Dewi Selamat.

Dalam sesi lawatan ini, pihak Khazanah merakamkan penghargaan kepada MACA atas kesudian menerima delegasi serta berkongsi kepakaran dalam bidang latihan dan pembangunan integriti. Lawatan ini memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk menjalin hubungan strategik di samping meneroka peluang kerjasama yang lebih luas, khususnya dalam memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus yang berkesan di sektor korporat.

Pengarah Kanan MACA, YBhg. Dato’ Mohd Hafaz Nazar, menyambut baik inisiatif tersebut dan menegaskan bahawa penglibatan sektor korporat amat penting dalam usaha mencegah rasuah secara menyeluruh kerana ia melibatkan pengurusan dana serta aset negara yang bernilai besar. Beliau turut menyatakan kesediaan MACA untuk bekerjasama rapat dengan Khazanah dalam pelbagai bidang yang mampu memberi impak positif kepada pembangunan kapasiti dan integriti organisasi.

MACA juga melihat potensi untuk memperkukuh aspek jaringan penyelidikan dan perkongsian pengetahuan sebagai platform kerjasama, yang membolehkan pertukaran kepakaran dalam bidang integriti, tadbir urus serta amalan terbaik pencegahan rasuah di peringkat nasional dan antarabangsa.

Dengan terjalinnya hubungan strategik ini, MACA yakin kerjasama dengan Khazanah akan dapat memperluas jangkauan usaha pencegahan rasuah, bukan sahaja dalam sektor awam malah merangkumi sektor korporat dan swasta.

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Pengurusan dan Korporat) MACA, P/KPKPj Umi Kalusom Ahmad, serta pegawai-pegawai kanan MACA.


#MACAMACC

#SPRMMalaysia

#RasuahDihinaMaruahDibina