SINERGI BAHARU MACA-BNM DALAM AGENDA TADBIR URUS DAN INTEGRITI
24-09-2025
Kuala Lumpur, 24 September 2025 – Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Bank Negara Malaysia (BNM) yang diketuai oleh Ketua Perkhidmatan Sokongan Berpusat BNM, Mohd Fuad Arshad.
Pertemuan ini memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman dalam bidang integriti, pencegahan rasuah dan pengukuhan tadbir urus kewangan negara.
Perbincangan turut menyentuh kepentingan memperluas kerjasama dalam aspek latihan, pembangunan kapasiti serta perkongsian maklumat bagi meningkatkan keberkesanan usaha pencegahan rasuah merentas sektor kewangan dan perkhidmatan awam.
YBhg. Dato’ Mohd Hafaz Nazar, Pengarah Kanan MACA menegaskan bahawa hubungan strategik dengan institusi kewangan utama seperti BNM adalah penting bagi memastikan pendekatan pencegahan rasuah dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan mampan.
Kunjungan ini diakhiri dengan sesi bergambar dan pertukaran cenderahati sebagai simbolik penghargaan, sekali gus membuka lembaran baharu ke arah memperkukuh sinergi antara MACA dan BNM dalam mendukung agenda integriti serta tadbir urus negara.
Turut hadir, Pengarah, Jabatan Perolehan Berpusat BNM, Zulkippli Haron; Pengarah Jabatan Pengurusan Keselamatan BNM, Abd. Razak Hussin; Timbalan Pengarah, Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan BNM, Asraf Hafizi Mohd; Pengurus Jabatan Etika dan Integriti BNM, Jurgen Wong; Timbalan Pengarah Akademik dan Latihan Asas MACA, KPKPj Saud Ayutollah Abdul Manan serta pegawai-pegawai MACA.
#MACAMACC
#SPRMMalaysia
#RasuahDihinaMaruahDibina