MACA DAN IKWAS PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK LATIHAN ANTIRASUAH
17-10-2025
MACA DAN IKWAS PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK LATIHAN ANTIRASUAH
Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) menerima lawatan kerja seramai 27 pegawai daripada Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Selatan (IKWAS) yang diketuai oleh Pengarahnya, Puan Iszalhamiyah Mohamed.
Lawatan ini bertujuan memahami amalan terbaik dalam pencegahan rasuah yang diterapkan di MACA, khususnya dalam aspek pengurusan latihan dan pendidikan yang menekankan nilai integriti, tadbir urus beretika serta pembangunan kapasiti penjawat awam.
Selain itu, kunjungan ini turut memberi peluang kepada IKWAS untuk memperoleh pendedahan terhadap pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) yang diaplikasikan MACA dalam membina kompetensi dan profesionalisme pegawai kerajaan.
Melalui sesi taklimat dan perkongsian pengalaman, kedua-dua institusi berpeluang bertukar pandangan serta idea berkaitan strategi pelaksanaan latihan antirasuah. Inisiatif ini sekali gus membuka ruang kerjasama strategik dalam memperkukuh budaya integriti dan pencegahan rasuah dalam perkhidmatan awam.
Pengarah Kanan MACA, YBhg. Dato’ Mohd Hafaz Nazar, menyambut baik inisiatif ini sebagai usaha memperluas jaringan kolaborasi antara Institusi Latihan Awam (ILA).
“Kerjasama seperti ini bukan sahaja memperkukuh hubungan strategik antara MACA dan IKWAS, malah menjadi platform penting dalam memperkasa latihan berteraskan integriti serta menyemai nilai antirasuah dalam kalangan penjawat awam,” katanya.
Selesai sesi perkongsian, delegasi turut berpeluang meninjau beberapa fasiliti utama di MACA termasuk Video Interviewing Room (VIR), Moot Court dan Perpustakaan.
#MACAMACC
#sprmmalaysia
#RasuahDihinaMaruahDibina