Logo

KURSUS PERALIHAN PENGUASA SPRM LAHIRKAN PEMIMPIN BERINTEGRITI


29-10-2025

Kuala Lumpur, 24 Oktober – Kepimpinan dalam organisasi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menuntut keberanian moral dan keteguhan dalam prinsip.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi berkata, setiap pegawai SPRM membawa imej organisasi di mata rakyat, bukan sahaja melalui keputusan dan tindakan yang dibuat tetapi juga dalam tutur kata, penampilan serta etika kerja seharian.

“Kepimpinan di SPRM menuntut keberanian moral, berani menegakkan kebenaran tanpa mencari populariti, berani menolak arahan bercanggah dengan undang-undang dan mempertahankan integriti pasukan walaupun berdepan risiko,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Kursus Peralihan Penguasa SPRM P9 Siri 8 Bil. 1/2025 membabitkan seramai 23 pegawai SPRM di Dewan Tun Dr Ismail, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), di sini hari ini.

Pegawai terbabit telah menjalani kursus yang julung kali dianjurkan oleh Pusat Kecemerlangan Kepimpinan SPRM (MLEC) bertempat di Kem Amazing Camp Legacy (ACL), Lenggong, Perak bermula dari 13 hingga 24 Oktober 2025.

Pada majlis itu, Dato’ Indera Junipah turut menyampaikan Anugerah Peserta Terbaik Kursus kepada P/Ps Mohd Zahari Zainon dan Anugerah Waja, yang julung kali diperkenalkan kepada P/Ps Muhamad Mustari Mustapah.

Turut hadir Pengarah Kanan MACA SPRM, Dato’ Mohd Hafaz Nazar, Pengarah Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme (BCP) SPRM, KPKPj Syed Mohd Termizi Syed Musa, Timbalan Pengarah Akademi dan Latihan Asas MACA, Mohd Saud Ayutollah Abdul Manan serta pegawai-pegawai kanan SPRM.