Logo

KURSUS INTENSIF MTCP PERKUKUH JARINGAN KERJASAMA ANTIRASUAH ANTARABANGSA


06-11-2025

Kursus intensif selama 10 hari ini menghimpunkan seramai 18 pegawai kanan antirasuah dari negara-negara Asia Tenggara, Asia Tengah, Asia Selatan serta benua Afrika.

Penganjuran program ini bertujuan memperkukuh keupayaan institusi, memperluas rangkaian kerjasama strategik serta memperteguh komitmen Malaysia dalam memperjuangkan tadbir urus berintegriti di peringkat antarabangsa.

Program ini dilaksanakan di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) yang diperkenalkan pada tahun 1980 sebagai manifestasi komitmen Malaysia terhadap kerjasama Selatan-Selatan. Sejak itu, MTCP terus menjadi platform penting dalam perkongsian ilmu dan amalan terbaik, sekali gus menyerlahkan peranan Malaysia sebagai peneraju dalam bidang diplomasi pembangunan dan pendidikan antirasuah global.

Kandungan kursus memberi tumpuan kepada aspek pengurusan strategik dalam usaha memerangi rasuah, merangkumi isu dan cabaran semasa seperti penyiasatan berasaskan perisikan, forensik digital, pemulangan aset rentas sempadan, jenayah melibatkan mata wang kripto serta strategi pengurusan krisis komunikasi.

Modul latihan disampaikan oleh barisan pakar dan pengamal berpengalaman dalam ekosistem antirasuah negara dengan pendekatan bersifat praktikal dan adaptif mengikut konteks negara peserta.

Melalui penganjuran ini, para peserta bukan sahaja memperkukuh pengetahuan dan kemahiran teknikal, malah berpeluang membina jaringan strategik ke arah memperkukuh solidariti dan tindakan bersama dalam memerangi rasuah di peringkat global.

#MACAMACC

#sprmmalaysia

#RasuahDihinaMaruahDibina