MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) ANTARA MONASH UNIVERSITY MALAYSIA DAN AKADEMI PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (MACA) SPRM
13-01-2026
Petaling Jaya, 12 Januari – Universiti di negara ini memainkan peranan penting sebagai rakan strategik dalam membantu penyelidikan berkaitan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), tadbir urus dan pencegahan rasuah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, SPRM memberi fokus kepada bidang teknologi AI kerana ia dapat membantu membangunkan modal insan dalam bidang seperti forensik digital, analitik data dan etika teknologi.
“Melihat kepada keperluan pada masa kini, SPRM perlu mendapatkan kepakaran daripada universiti dalam dan luar negara bagi meningkatkan keberkesanan usaha antirasuah.
“Usaha-usaha ini tidak akan berjaya tanpa pelaburan berterusan dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan teknologi selain meningkatkan tahap kemahiran serta profesionalisme pegawai,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Monash University Malaysia dan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) SPRM di sini, hari ini.
Beliau berkata, menerusi MoU ini, SPRM akan memanfaatkan gabungan kekuatan pengalaman praktikal MACA SPRM dan kepakaran akademik universiti berkenaan bagi menghasilkan penyelesaian yang inovatif, realistik dan berimpak tinggi.
Tan Sri Azam berkata, sebagai contoh, Monash University Malaysia boleh membantu SPRM menambahbaik sistem sedia ada dalam menyelesaikan kes-kes yang kompleks ketika ini sekali gus tempoh siasatan sesuatu kes dapat diselesaikan dengan cepat dan mengikut tempoh masa ditetapkan.
Selain itu, SPRM berharap dapat memperolehi geran bagi pembangunan teknologi AI menerusi kerjasama yang dimeterai antara MACA SPRM dan Monash University Malaysia.
Sementara itu, Presiden dan Pro Naib Canselor Monash University Malaysia, Profesor Emeritus Dato’ Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, kerjasama ini dapat memberikan akses langsung kepada barisan hadapan serta mewujudkan satu platform kukuh untuk menterjemahkan kepakaran akademik kepada hasil praktikal yang relevan di peringkat nasional.
Beliau berkata, ia juga memberi peluang untuk menjalankan projek penyelidikan gunaan, dasar, latihan serta pengukuhan institusi khususnya membabitkan Pusat Pengajian Undang-Undang Komersial dan Kajian Kawal Selia, Monash University Malaysia.
Turut hadir Pengarah Kanan MACA SPRM, Dato' Mohd Hafaz Nazar; Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM, Dato' Idris Zaharudin; Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan; Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Datuk Rasidah Abdul Karim dan Pengarah Bahagian Forensik Teknologi, KPKPj Wan Zulkifli Wan Jusoh.
#SPRMMalaysia
#RasuahDihinaMaruahDibina
#taatsetia