Logo

MAJLIS SERAH PROJEK DAN MAJLIS PERASMIAN PUSAT LATIHAN ASAS AKADEMI PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (MACA), BANDAR ENSTEK, NILAI, NEGERI SEMBILAN


21-01-2026

Nilai, 20 Januari – Pusat Latihan Asas (PLA) Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu adalah langkah strategik memperkasa pembangunan kompetensi, nilai moral dan etika dalam kalangan pegawai.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, pusat latihan itu juga mencerminkan komitmen berterusan SPRM ke arah menjadi agensi antirasuah terunggul di peringkat global.

Beliau berkata, kemudahan latihan yang dipertingkatkan itu bukan sahaja menyokong pencapaian visi dan misi SPRM, malah membantu merealisasikan objektif semua Bahagian serta Negeri SPRM.

“Pusat Latihan Asas MACA Nilai ini disasarkan sebagai pusat latihan menyeluruh yang bukan sahaja membangunkan keupayaan fizikal, malah mengaktifkan minda dan pembentukan jati diri pegawai,” katanya pada Majlis Penyerahan Projek Baik Pulih dan Penyelenggaraan Blok D, E dan F Kelompok 21 serta Majlis Perasmian MACA Nilai, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Tan Sri Azam turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan atas kejayaan menyiapkan Projek Pembaikan dan Penyelenggaraan MACA Nilai Fasa 2, yang merupakan kesinambungan kepada Fasa 1 yang telah diserahkan pada Disember 2024.

Sementara itu, Pengarah Kanan MACA SPRM, Dato’ Mohd Hafaz Nazar berkata, seramai 176 kadet terdiri daripada 126 lelaki dan 50 perempuan akan mengikuti Kursus Asas Pegawai SPRM yang dijadualkan bermula Februari 2026 di pusat latihan itu.

Menurutnya, latihan yang dijalani bukan hanya menekankan aspek pengetahuan dan kemahiran teknikal, malah memberi penekanan kepada penerapan nilai integriti, disiplin, keberanian moral serta kepimpinan berwibawa.

Pada majlis sama, Tan Sri Azam turut mengadakan lawatan ke fasiliti pusat latihan itu dan menandatangani plak perasmian disaksikan Timbalan Ketua Pengarah (Bangunan) JKR, Dato’ Ir. Ibrahim Esa; Jurutera Daerah JKR Seremban, Ir. Ainor Izman Maimun @ Mahmood; serta Dato’ Mohd Hafaz.

Turut hadir Timbalan-timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Pengarah-pengarah Kanan SPRM, Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.