PENGUASA SPRM PERLU TANAM SIFAT INTEGRITI
03-02-2026
Kuala Lumpur, 31 Januari – Integriti merupakan tunjang utama perkhidmatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan perlu dipelihara dengan sentiasa berkata benar, mengelakkan konflik kepentingan serta mempertahankan maruah Suruhanjaya sebagai amanah kepada negara.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesional) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi berkata, Kursus Peralihan Penguasa SPRM merupakan platform penting dalam membentuk pegawai yang beralih daripada peranan pelaksana kepada penyelia dan pemimpin yang memikul tanggungjawab serta akauntabiliti lebih besar.
“Para pegawai diseru agar mengamalkan semangat ‘Berani dan Radikal Perangi Rasuah’ serta memiliki keberanian moral untuk menegakkan kebenaran tanpa pilih kasih, termasuk berani menolak sebarang arahan yang bercanggah dengan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Kursus Peralihan Penguasa SPRM P9 Siri 9 Bilangan 1 Tahun 2026 yang melibatkan seramai 35 pegawai SPRM, di Dewan Tun Dr Ismail, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), di sini semalam.
Para pegawai terlibat telah mengikuti kursus selama dua minggu, bermula dari 19 hingga 30 Januari 2026 yang dilaksanakan di Kem Amazing Legacy, Lenggong, Perak dan MACA.
Turut hadir Pengarah Kanan MACA SPRM, Dato’ Mohd Hafaz Nazar; Timbalan Pengarah Akademi dan Latihan Asas MACA, KPKPj Mohd Saud Ayutollah Abdul Manan; Pengasas Kem Amazing Legacy, Datuk Abdul Rashid Harun, serta pegawai-pegawai kanan SPRM.
#SPRMMalaysia
#BeraniDanRadikalPerangiRasuah
#taatsetia