Logo

MAJLIS SERAH TERIMA TUGAS PENGARAH KANAN MACA SPRM


29-07-2026

 Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) bukan sekadar pusat latihan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebaliknya institusi penting dalam membentuk kompetensi, profesionalisme dan budaya integriti warga organisasi.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Karunanithy Y. Subbiah berkata, tempoh perkhidmatannya yang singkat di MACA tetap memberi peluang untuk melaksanakan beberapa inisiatif penambahbaikan yang diyakini mampu menjadi asas kepada pembangunan akademi pada masa hadapan.

“Sesebuah organisasi yang hebat tidak bergantung kepada seorang individu, tetapi kepada budaya penambahbaikan yang diteruskan tanpa mengira siapa yang memimpin.

Sepanjang bersama warga MACA, saya melihat warga MACA sebagai sebuah pasukan yang sentiasa bersedia menerima perubahan, berani mencuba pendekatan baharu dan berusaha memberikan terbaik demi kecemerlangan organisasi,” katanya pada majlis serah terima tugas Pengarah Kanan MACA disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi di Dewan Tun Dr Ismail, MACA di sini hari ini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan diatas peluang menerajui MACA sebelum menyerahkan tugas kepada Dato’ Mohamad Zamri Zainul Abidin yang kini dilantik sebagai Pengarah Kanan MACA yang baharu.

Beliau yakin dengan pengalaman, kewibawaan dan kepimpinan Dato’ Mohamad Zamri yang sebelum ini berkhidmat sebagai Pengarah Kanan BOK SPRM dalam meneruskan kecemerlangan MACA sebagai institusi latihan antirasuah yang unggul di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Saya sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa setiap matlamat perlu jelas, setiap tindakan perlu berfokus dan setiap amanah perlu disempurnakan dengan penuh akauntabiliti. Pada masa yang sama, saya juga percaya bahawa pencapaian organisasi tidak boleh dipisahkan daripada kebajikan warga kerjanya. 

“Apabila warga organisasi dihargai, diberikan kepercayaan dan diperkasakan, mereka akan memberikan komitmen yang jauh lebih besar kepada organisasi,” katanya.

Turut hadir Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Datuk Rasidah Abdul Karim dan Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM, KPKPj Hishammudin Mohammed.

#SPRMMalaysia

#BeraniDanRadikalPerangiRasuah

#taatsetia