MACA PERKASA MODUL KEPIMPINAN SPRM 2027, BENTUK PEMIMPIN BERINTEGRITI DAN BERWIBAWA
05-11-2026
Kuala Lumpur, 21 Oktober – Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) menerusi Pusat Kecemerlangan Kepimpinan SPRM (MLEC) terus memperkukuh pembangunan kepimpinan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui penganjuran Bengkel Pembangunan dan Pemurnian Modul Kepimpinan SPRM 2027.
Pengarah Kanan MACA, Dato’ Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, pembangunan kepimpinan perlu melahirkan pemimpin berintegriti, berwibawa dan berkeupayaan membuat keputusan secara adil serta berprinsip.
“Kepimpinan menuntut keupayaan yang lebih luas, termasuk membimbing anggota, mengurus perubahan, membina kepercayaan dan menggerakkan organisasi ke arah pencapaian matlamat bersama”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Bengkel Pembangunan dan Pemurnian Modul Kepimpinan SPRM 2027 di Hotel Avillion Port Dickson, Negeri Sembilan,di sini semalam.
Penganjuran bengkel ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan modal insan SPRM, selaras dengan Pelan Strategik Sumber Manusia SPRM 2026–2030.
Bagi merealisasikan aspirasi tersebut, pembangunan modul kepimpinan perlu berpandukan kepada Kerangka Kompetensi Kepimpinan SPRM, yang berasaskan kepada Lima (5) Teras Kepimpinan. Asas Kerangka Kompetensi Kepimpinan tersebut digariskan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, sebagai pasak utama pentadbiran dan strategi SPRM dalam menyesuaikan mandat mengikut landskap semasa.
Bengkel yang dihadiri seramai 21 pegawai SPRM ini dikendalikan oleh pakar pembangunan kompetensi, serta perunding dan pembangun modul kepimpinan, Prof. Dr. Yahya Mat Som.
Turut hadir, Pengarah SPRM Selangor, TPj Mohd Azwan Ramli; Timbalan Pengarah Akademik dan Latihan Asas MACA, KPKPj Wong Yun Fui dan Ketua Pusat Kecemerlangan Kepimpinan SPRM (MLEC) MACA, PKPj Sarimah binti Sulaiman.