Logo

PENGARAH KANAN MACA KONGSI PERSPEKTIF INTEGRITI DAN AKAUNTABILITI DI FORUM MCMC 2026


05-11-2026

Kuala Lumpur, 22 Oktober- Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Dato’ Mohamad Zamri Zainul Abidin, hari ini diberi penghormatan sebagai panelis dalam sesi forum bertemakan “Empowering Integrity, Strengthening Governance: Building Trust Through Accountability and Assurance” sempena Majlis Kemuncak Bulan Integriti dan Audit MCMC 2026 di Auditorium Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), di sini.

Forum tersebut membincangkan kepentingan memperkukuh integriti, meningkatkan akauntabiliti serta memantapkan tadbir urus organisasi bagi membina kepercayaan terhadap institusi.

Dalam perkongsian beliau, Dato’ Zamri menekankan bahawa usaha membanteras rasuah perlu disokong oleh pendekatan pencegahan yang berkesan, sistem kawalan dalaman yang mantap serta budaya organisasi yang mengutamakan ketelusan dan akauntabiliti.

Beliau turut menegaskan bahawa kelemahan dalam proses membuat keputusan, ketiadaan mekanisme semak dan imbang yang berkesan serta kegagalan mengurus konflik kepentingan boleh membuka ruang kepada salah guna kuasa. Justeru, organisasi perlu proaktif mengenal pasti risiko dan mengambil langkah pembetulan sebelum kelemahan berkembang menjadi salah laku yang lebih serius.

Dari aspek pembangunan integriti, beliau menekankan bahawa latihan tidak seharusnya terhad kepada penyampaian ilmu dan pematuhan prosedur semata-mata, sebaliknya perlu membentuk keupayaan pegawai membuat keputusan secara beretika serta keberanian mempertahankan tindakan yang betul ketika berhadapan tekanan.

Kepercayaan terhadap institusi perlu dibina melalui tindakan yang konsisten, keterbukaan menerima teguran serta kesediaan melaksanakan pembetulan berdasarkan fakta. 

Dalam majlis yang sama, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, turut hadir menyampaikan amanat. 

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi merangkap Anggota Jawatankuasa Audit dan Risiko MCMC, Datuk Abdul Halim Hamzah; Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din; Anggota Suruhanjaya MCMC, Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin; Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali serta Ketua Unit Integriti dan Governans MCMC, Abdullah Sani A. Latib.