Logo

SPRM PERKASA KOMPETENSI PEGAWAI SPRM MENERUSI PROGRAM CEIO EKSEKUTIF SIRI 10 BIL. 1/2026


05-11-2026

Kuala Lumpur, 23 Oktober – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) terus komited memperkukuh kompetensi pegawainya dalam bidang integriti, pencegahan rasuah dan tadbir urus menerusi penganjuran Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Eksekutif Siri 10 Bil. 1/2026 yang melabuhkan tirainya pada 23 Oktober 2026 di Dewan Tun Ismail, MACA.

Program selama 14 hari ini telah disertai seramai 62 orang pegawai SPRM dari ibu pejabat dan negeri di seluruh negara. Penganjurannya bertujuan meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi peserta dalam pengurusan integriti serta menjadi persediaan untuk melaksanakan tanggungjawab berkaitan integriti termasuk penempatan di kementerian dan jabatan bagi memperkukuh fungsi Unit Integriti.

Sepanjang program, para peserta telah mengikuti pengisian latihan yang komprehensif merangkumi pengenalpastian risiko rasuah, pengurusan isu tatatertib dan salah laku serta pelaksanaan inisiatif pencegahan rasuah bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan integriti organisasi.

Dato Mohd Zamri Zainul Abidin, Pengarah Kanan MACA berkata, pegawai integriti perlu mempunyai ciri-ciri hibrid yang berupaya mengenal pasti kelemahan sistem, memberikan pandangan secara profesional, mencadangkan langkah penambahbaikan dan membantu organisasi membina persekitaran kerja yang telus, berakauntabiliti serta bebas daripada rasuah.  

“Para peserta perlu mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang diperoleh dalam pelaksanaan tugas serta menjadi pemangkin kepada pembudayaan integriti di agensi masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Eksekutif Siri 10 Bil. 1/2026.

Penganjuran program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SPRM dalam membangunkan pegawai yang kompeten dan berkeupayaan menyokong agenda integriti negara, sekali gus menyumbang kepada persekitaran kerja yang telus, berakauntabiliti dan bebas daripada amalan rasuah