15 WARGA SPRM RAI KEJAYAAN AKADEMIK PADA KONVOKESYEN KE-15 AEU
05-11-2026
Shah Alam, 24 Oktober – Seramai 15 warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencipta pencapaian membanggakan apabila berjaya menamatkan pengajian di pelbagai peringkat akademik menerusi program Accreditation of Prior Experiential Learning for Qualifications (APEL.Q).
Kejayaan tersebut diraikan pada Majlis Konvokesyen Ke-15 Asia e University (AeU) yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, hari ini.
Pada majlis berkenaan, skrol graduasi telah disampaikan oleh Canselor AeU, Tan Sri Dr. Syed Hamid Albar.
Antara pegawai kanan SPRM yang turut menamatkan pengajian ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Dato’ Azmi Kamaruzaman; Pengarah Kanan Perisikan, Datuk Saiful Ezral Arifin dalam bidang Ijazah Sarjana Pengurusan (MIM) dan Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, Datuk Karunanithy Y. Subbiah dalam bidang Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA).
Turut menerima pengiktirafan sama, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Datuk Mohd Shahril Che Saad, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, KPKPj Samsul Salip; dalam bidang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Pegawai Integriti, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), PKPj Dr. Wong Chiew Hoong dalam bidang Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA).
Manakala dua pegawai dari Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), PKPs Nora Bahrin dan PKPs Nur Liza Musa dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (BBA).
Daripada keseluruhan 15 graduan, seramai dua (2) orang menamatkan pengajian di peringkat P.h.D, empat (4) orang di peringkat Sarjana sembilan (9) orang di peringkat Ijazah Sarjana Muda.
Berdasarkan senarai pegawai SPRM yang mengikuti pengajian menerusi program APEL.Q di AeU, seramai 52 orang disenaraikan dalam pelbagai peringkat pengajian dan penilaian. Daripada jumlah tersebut, 15 orang telah bergraduasi, manakala selebihnya masih dalam proses pengajian atau melengkapkan keperluan program masing-masing.
Pencapaian ini mencerminkan komitmen warga SPRM terhadap pembelajaran sepanjang hayat serta usaha berterusan untuk memperkukuh pengetahuan, kompetensi dan profesionalisme.
Kejayaan menamatkan pengajian di samping melaksanakan tanggungjawab hakiki turut memperlihatkan kesungguhan pegawai dalam meningkatkan keupayaan diri demi menyokong kecemerlangan organisasi.
SPRM, khususnya Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua graduan atas kejayaan yang dicapai. Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga SPRM untuk terus menimba ilmu, meningkatkan kompetensi dan memperkukuh profesionalisme demi kecemerlangan perkhidmatan serta memperkasa usaha pencegahan rasuah negara.