MACA PERKUKUH KOMPETENSI FORENSIK DIGITAL DALAM SIASATAN JENAYAH KEWANGAN
05-11-2026
Kuala Lumpur, 27 Oktober 2026 – Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) terus menyokong usaha memperkukuh kompetensi penguatkuasaan dalam bidang pengendalian bukti digital dan forensik komputer menerusi pelaksanaan UNODC Digital Evidence (Legal) and Computer Digital Forensics (Basics) Training di Grand Millennium Hotel, Kuala Lumpur.
Program anjuran United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) ini merupakan sebahagian daripada UNODC Indo-Pacific Economic Framework for Prosperity Practitioner Program on Financial Crime Investigation and Digital Evidence, dengan sokongan Kerajaan Australia melalui Department of Foreign Affairs and Trade (DFAT).
Pengarah Kanan MACA, Dato’ Mohamad Zamri Zainul Abidin, dalam ucaptama beliau menekankan bahawa bukti digital semakin penting dalam siasatan rasuah dan jenayah kewangan yang kian kompleks, merentas sempadan serta melibatkan penggunaan teknologi.
Beliau turut menegaskan bahawa keberkesanan siasatan digital bukan sahaja bergantung pada kecanggihan teknologi, malah memerlukan kepakaran dan pematuhan kepada prosedur yang betul bagi memastikan bukti dikenal pasti, diperoleh, dipelihara dan dianalisis dengan teliti supaya integriti serta kebolehgunaannya dari sudut perundangan dapat dipastikan.
Dato’ Mohamad Zamri berharap latihan ini dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran praktikal peserta, memperkukuh kerjasama antara penyiasat, pakar forensik digital dan pengamal undang-undang, serta menggalakkan perkongsian pengalaman dan amalan terbaik antara negara. Beliau turut berharap ilmu dan kemahiran yang diperoleh dapat dimanfaatkan di organisasi masing-masing bagi meningkatkan keupayaan operasi serta keberkesanan penyiasatan jenayah kewangan.
Program ini melibatkan peserta dari Malaysia, Fiji, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam. Penyertaan pelbagai negara ini turut membuka ruang kepada perkongsian kepakaran, pembinaan jaringan profesional dan pengukuhan kerjasama antarabangsa dalam menangani cabaran siasatan jenayah kewangan serta pengurusan bukti digital.
MACA komited untuk terus menyokong pembangunan kompetensi pegawai penguat kuasa yang berintegriti, profesional dan berkeupayaan menghadapi cabaran penyiasatan masa kini melalui latihan berterusan serta kerjasama strategik di peringkat nasional dan antarabangsa.
Hadir sama ialah Dr. Joshua I. James, Regional Counter-Cybercrime Coordinator, UNODC.