MACA DAN ATM TEROKA KERJASAMA PERKUKUH INTEGRITI
05-11-2026
Kuala Lumpur, 29 Oktober – Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) menerima kunjungan hormat delegasi Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bahagian Inspektorat Jeneral, yang diketuai oleh Laksamana Haji Shahriman Haji Mahmud, Inspektor Jeneral Angkatan Tentera Malaysia, bertempat di Bilik Mesyuarat Utama MACA, di sini semalam.
Kunjungan tersebut disambut oleh Pengarah Kanan MACA, Dato’ Mohamad Zamri Zainul Abidin, dan menjadi platform bagi kedua-dua pihak bertukar pandangan serta meneroka peluang kerjasama dalam bidang pembangunan integriti dan latihan.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk peluang penyertaan pegawai ATM dalam Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO), pelaksanaan Program Pengukuhan Integriti dan penganjuran kursus serta seminar berkaitan pengurusan integriti yang bersesuaian dengan keperluan ATM serta pembangunan modul pelan kenaikan pangkat yang mengambil kira penilaian integriti (integrity assessment) sebagai salah satu elemen penilaian pegawai.
Kerjasama ini diharap dapat memperkukuh kompetensi pegawai, meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan integriti serta menyokong pembudayaan tadbir urus yang baik dalam organisasi.
MACA komited untuk terus memperluas kerjasama strategik dengan pelbagai agensi bagi memperkukuh agenda pencegahan rasuah dan pembangunan integriti melalui latihan serta perkongsian kepakaran.
Turut hadir dalam delegasi ATM ialah Mejar Mohd Irwan Saifullah Jamaludin, Pegawai Staf 2 Aduan; Leftenan Dya Muhammad Norzakaria Muhammed Hassan, Juruiring Inspektor Jeneral ATM serta pegawai-pegawai kanan MACA.