Logo

SUKAN SEBAGAI AGEN PENYATUAN, BENTUK INTEGRITI DALAM PASUKAN


15-12-2021

Kuala Lumpur, 26 November – Sukan sememangnya menyatukan pasukan apabila setiap individu di dalamnya bersama-sama berusaha keras mencapai kemenangan. Begitu jugalah amalan terbaik dalam sesebuah organisasi yang mendambakan kemajuan dan kejayaan bagi memastikan organisasi sentiasa relevan dan efektif kepada semua pemegang taruh. Demikian kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Datuk Seri Haji Azam Baki semasa merasmikan Gelanggang Sukan MACA, hari ini.

 Menurut beliau lagi, dalam dunia serba mencabar ini, kesihatan fizikal dan mental perlulah dijaga dengan baik serta jauhi diri daripada gaya hidup yang tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah, alkohol dan sebagainya.

 Kerja-kerja menaik taraf Gelanggang Sukan MACA kepada gelanggang sukan berkualiti tinggi telah dimulakan pada bulan Mei 2021 dan siap sepenuhnya pada bulan Oktober 2021 melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM298,000. Gelanggang ini menempatkan fasiliti berbumbung dan berlampu bagi kegunaan sukan futsal, bola tampar, badminton, sepak takraw dan bola jaring.

Perasmian Gelanggan Sukan MACA juga adalah selaras dengan seruan kerajaan bagi menjayakan Hari Sukan Negara 2021. Tan Sri Datuk Seri Haji Azam turut mengumumkan bahawa aktiviti dan program sukan boleh dilaksanakan pada setiap petang Jumaat, atau setiap petang khamis bagi Negeri Kelantan, Terengganu, Johor dan Kedah, di semua pejabat SPRM.

Turut berlangsung Perlawanan Bola Tampar Empat Penjuru yang diungguli oleh Pasukan Integriti, disertai oleh YBhg. Tan Sri Datuk Seri Haji Azam, YBhg. Dato’ Haji Idris serta pemain-pemain daripada Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan SPRM.

 Majlis disemarakkan lagi dengan kehadiran Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, YBhg. Datuk Seri Norazlan bin Mohd Razali; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, YBhg. Dato’ Junipah binti Wandi serta pengarah-pengarah Bahagian SPRM.