Logo

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA SUKSES LAKSANA PROGRAM CEIO, SERIUS TANGANI ISU INTEGRITI


10-08-2022

57 pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari Bahagian dan Jabatan Pendidikan Negeri serta Institusi KPM telah berjaya menamatkan Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO)pada 9 Ogos 2022. KPM merupakan kementerian pertama di Malaysia yang melaksanakan kursus CeIO secara berkelompok (in- house) khusus untuk pegawai-pegawai KPM sendiri.

Dalam Ucapan Perasmian Penutupnya, Timbalan Menteri Pendidikan II, YBhg. Datuk Mohamad bin Haji Alamin menyatakan bahawa pelaksanaan program CeIO-KPM yang dilaksanakan mulai Julai 2020 ini menunjukkan keseriusan KPM dalam menangani isu-isu integriti, salah guna kuasa dan risiko rasuah di peringkat Kementerian.

“Adalah amat penting pengurusan ekosistem dan tadbir urus Pendidikan Negara yang merangkumi lebih lima juta murid yang dididik oleh lebih 416,366 orang guru di peringkat prasekolah, rendah dan menengah serta program prasekolah Institut Pendidikan Guru (IPG) dapat dilaksanakan secara telus dan berintegriti”, ujar beliau lagi.

Beliau turut mengingatkan para pendidik agar bijak menggunakan media sosial serta mematuhi Garis Panduan dan Etika Penggunaan Media Sosial bagi Guru dan Murid pada Januari 2017 supaya penyebaran dan perkongsian maklumat terkawal serta tidak menjejaskan kepentingan perkhidmatan awam juga kedaulatan Negara.

 Pada Ogos 2013, KPM telah menubuhkan Unit Integriti (UI) selaras dengan Pekeliling Bilangan 6 Tahun 2013 sebagai focal point kepada pengurusan isu-isu integriti di KPM. Sektor Integriti (SI) ditubuhkan di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan lantikan pegawai khusus dibuat di setiap Bahagian.

Selain itu, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, YBhg. Dato’ Haji Idris bin Zaharudin dalam ucapannya turut menyeru kepada KPM agar mengekalkan kesemua 57 peserta CeIO dalam Sektor Integriti (SI) KPM bagi membantu UI dalam penyelarasan pengurusan aduan, tindakan pengesahan dan pengesanan serta proses tatatertib.

Turut berlangsung pada sesi pagi ialah Seminar Kelestarian Integriti (SKI) CeIO dengan penganjuran forum bertajuk “Guru Media Sosial: Realiti atau Sensasi”. Antara barisan panel yang menghangatkan suasana ialah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia-Sektor Dasar dan Kurikulum, YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin bin Haji Ghazali; Ketua Unit Integriti Kementerian Pendidikan, KPKPj Muhamad Asri bin Dollah dan Guru Pendidikan Seni Visual SMK USJ 13 Subang Jaya, Pn. Irma Rahayu binti Ibrahim.