Logo

MACA BERJAYA HARUNGI GETIR 2023, SEDIA HADAPI CABARAN 2024 #PERHIMPUNANBULANANMACA2024


24-01-2024

KUALA LUMPUR, 23 Januari – Tahun 2023 ternyata tahun yang getir buat Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA). Dalam ucapan amanat sempena Perhimpunan Bulanan MACA Bilangan 1 tahun 2024, Pengarah MACA, YBhg. Dato’ TPj Hj Idris bin Zaharudin sempat mengimbas kembali insiden tanah runtuh yang meranapkan pos pengawal di pintu masuk pejabat MACA pada 25 April 2023 lalu.

Insiden tersebut telah memaksa pihak pengurusan MACA membuat keputusan dan tindakan luar jangka yang drastik bagi membolehkan MACA berfungsi sepertimana yang dirancang. Warga MACA terpaksa bertugas secara sementara di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sehingga 13 Julai 2023.

“Alhamdulillah, berkat kerjasama dan sokongan semua pihak, terutamanya Pengurusan Tertinggi SPRM, MACA berjaya mengharungi tahun 2023 dengan baik dan mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) yang telah disasarkan meskipun diuji dengan insiden tersebut.”

Menurut beliau lagi, MACA kini bersedia menyahut cabaran Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri KPj Haji Azam bin Baki untuk menganjurkan lebih banyak program latihan berkonsepkan kepimpinan sebagai satu usaha untuk memperkasakan pegawai penguatkuasa dan agensi SPRM seluruhnya.

“Selain meningkatkan sasaran Program Latihan Tahunan SPRM, MACA turut mensasarkan untuk menyelenggara dan melengkapkan pejabat di Kuarters KLIA, Nilai, Negeri Sembilan yang bakal dijadikan Pusat Latihan Asas MACA selewat-lewatnya pada September 2024. Jabatan Perdana Menteri telahpun meluluskan peruntukan kewangan berjumlah RM3 juta untuk tujuan tersebut.”

Di kesempatan itu juga, YBhg. Dato’ TPj Hj Idris turut menitipkan pesanan Ketua Pesuruhjaya SPRM dalam Majlis Amanat dan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya yangtelah berlangsung pada 15 Januari 2024 lalu yang menyentuh tentang penjagaan kesihatan, kepimpinan dan kebersamaan dalam menjaga nama agensi SPRM.

“Saya juga ingin mengingatkan warga MACA agar peliharalah integriti dalam diri supaya menjadi pemimpin yang terbaik dalam persekitaran kerja dan keluarga serta teruslah menjaga disiplin terutamanya dalam aspek kewangan dan pengurusan masa. Kita harus sedar bahawa tiada perkara yang akan terjadi tanpa keizinan daripada Allah SWT. Teguhlah menjunjung kesucian agama dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan agar terhindar daripada terlibat dengan perkara-perkara yang dimurkai-Nya.”

Dalam majlis itu juga turut diselitkan dengan Majlis Perpisahan pegawai dan kakitangan MACA yang telah berpindah keluar serta Majlis Persaraan Puan Junaidah binti Bandi, Pembantu Tadbir Operasi yang telah berpencen pada 31 Disember 2023 lalu setelah berkhidmat selama 38 tahun dalam perkhidmatan awam.

Turut hadir menyerikan majlis ialah Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM merangkap mantan Timbalan Pengarah (Pengurusan) MACA, KPKPj Zuhairie bin Abu Bakar; Timbalan Pengarah (Akademik dan Latihan Asas) MACA, KPKPj Zakiah binti Hassan serta Pegawai-pegawai Kanan SPRM di MACA.