Logo

MACA DIIKTIRAF AKADEMI PEJABAT PENDAKWA RAYA REPUBLIC UZBEKISTAN


24-11-2020

Uzbekistan, 16 Mei – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) telah mendapat jemputan khas ke persidangan antarabangsa sempena Ulang Tahun Pertama Akademi Pejabat Pendakwa Raya Republic Uzbekistan (Academy of the General Prosecutor’s Office of the Republic of Uzbekistan) di Tashkent, Uzbekistan hari ini.

 

Seminar bertemakan “Enhancing Scientific and Educational Capacity in the Sphere of Law Enforcement Activities: Modern Tendencies and Prospects” yang berlangsung pada 16 dan 17 Mei 2019 tersebut turut disertai oleh 500 peserta daripada Kazakhstan, Turkmenistan, Azerbaijan dan negara-negara di sekitarnya. Manakala SPRM telah diwakili oleh YBhg. Dato’ P. Ganason a/l S. Periathamby, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Pematuhan Antirasuah Korporat (CACCC),  MACA. Dalam persidangan tersebut, Dato’ P. Ganason  turut diberikan penghormatan untuk menyampaikan ucapan ringkas bagi pihak SPRM.

 

Mr. Uygun Nigmadjanov, Timbalan Ketua Akademi Pejabat Pendakwa Raya Republic Uzbekistan yang merupakan bekas peserta Program Latihan “Senior Executive for Strategic Management of Anti-Corruption” anjuran MACA menyatakan bahawa MACA merupakan antara akademi pencegahan rasuah terbaik yang boleh dijadikan penanda aras bagi agensi penguatkuasa pencegahan rasuah yang lain kerana MACA menyediakan program latihan yang terkini dan sentiasa relevan dalam usaha menangani isu rasuah sejagat.

 

Sehubungan itu, Akademi Pejabat Pendakwa Raya Republic Uzbekistan amat memandang tinggi kepakaran MACA dan berharap dapat berkongsi ilmu dan terus meningkatkan kerjasama diantara Malaysia dan Uzbekistan. pada masa hadapan. Dato’ P. Ganason  turut menyatakan bahawa satu sesi menandatangani memorandum persefahaman antara kedua-dua negara dijangka berlangsung dalam masa terdekat.