Logo

PROGRAM CEIO NEGERI SARAWAK: PESERTA ILTIZAM MELESTARI INTEGRITI PENJAWAT AWAM DI KAWASAN SEMPADAN MALAYSIA INDONESIA


18-07-2022

Pelaksanaan Enhancing Integrity Project (EIP) Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Siri 30 Bil. 2 tahun 2022 Negeri Sarawak pada 16 dan 17 Julai 2022 dengan tema “Melestari Integriti Penjawat Awam di Kawasan Sempadan Malaysia-Indonesia” merupakan iltizam peserta untuk memperkasakan Integrity Champion(IC).

Lapan (8) IC yang terdiri daripada agensi-agensi utama yang menjaga sempadan negara di ICQS Biawak, Lundu, Sarawak telah dilantik yang melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis DiRaja Malaysia(PDRM), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia(JKDM), Bahagian Bio-Sekuriti Tumbuhan dan Kuarantin(MAQQIS), Jabatan Pertanian Sarawak, Jabatan Sukarelawan Malaysia(RELA), Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) serta Regimen 511 Askar Wataniah Kem Sematan.

Dalam ucapan perasmian penutup, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), YB. Dato' Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya menyatakan bahawa tugas untuk membudayakan integriti adalah bermula dari sempadan ke desa dan seterusnya ke kota.


Tambah beliau lagi, Ini merupakan usaha yang amat besar dan sukar, namun ianya adalah satu usaha berterusan oleh Kerajaan Negeri Sarawak selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid Negeri Sarawak 2030 atau Post Covid Development Strategy (PCDS) 2030.


Dr. Juanda turut menegaskan bahawa tanggungjawab ini harus dipikul bersama-sama oleh 76 orang Pegawai Awam pelbagai kementerian dan agensi di bawah kerajaan Negeri Sarawak yang juga merupakan peserta CeIO Siri 30.


Di samping itu, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), YBhg. Dato’ Hj. Idris Zaharudin turut mengingatkan peserta bahawa Pelaksanaan EIP ini merupakan prasyarat utama yang perlu dilaksanakan oleh peserta CeIO bagi melayakkan mereka ditauliahkan sebagai CeIO.


Program tersebut turut diisi dengan sesi ceramah oleh SPRM Negeri Sarawak bertajuk “Pentingnya Integriti Kepada penjawat awam”, Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) bertajuk “Inisiatif Integriti oleh Kerajaan Sarawak” dan Jabatan Imigresen Malaysia bertajuk “Fungsi JIM di Kawasan Sempadan”. Sesi Forum “Inisiatif Mencegah Korupsi” bersama wakil Malaysia dan Indonesia turut diadakan. Program yang berlangsung selama 2 hari di Dewan Serbaguna Kampung Pasir Ulu, Lundu, Sarawak ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran penduduk- penduduk kampung berhampiran.


Turut hadir ialah ADUN N1 Opar, YB. Billy Anak Sujang; Pengarah UNIONS, Haji Adana Jed; Pegawai Daerah Lundu, Encik Gustian Haji Dorani serta Ketua Jabatan dan Ketua Masyarakat sekitar Daerah Lundu.